T-Team Kekal Pendahulu Liga Perdana

KUALA LUMPUR – Wakil kelab Terengganu, T-Team terus mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana selepas melakar kemenangan  5-0 ke atas Kuantan FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam Jumaat.

 

Kemenangan ketujuh berturut-turut itu membolehkan skuad ‘The Titans’ terus unggul di puncak liga dengan kutipan 23 mata selepas 10 perlawanan.

 

Lima gol T-Team dijaringkan oleh Ahmad Takhiyuddin Roslan pada minit ke-42, Mohd Norhakim Hassan (ke-55), Sadriddin Abdullaev (ke-62), Muhammad Safawi Rasid (ke-79) dan Azrul Hazran Amiluddin Baki pada minit ke-90.

 

Kedah terus merapatkan kedudukan dengan T-Team selepas menang tipis 2-1 ke atas DRB Hicom FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

 

Skuad Helang Merah, bagaimanapun terpaksa menunggu pada minit ke-54 untuk memecah kebuntuan jaringan menerusi pemain gantian, Ahmad Shakir Mohd Ali sebelum pemain import baharu dari Brazil, Sandro Da Silva menggandakan kedudukan pada minit ke-67.

 

Pasukan DRB Hicom FC berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi Mohd Fakhrullah Rosli pada minit ke-88.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, pasukan Sabah melakar kejutan dengan mengalahkan skuad tuan rumah, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 4-2.

 

Skuad Harimau Selatan bermula cemerlang apabila menjaringkan dua gol menerusi Nicolas Delmonte pada minit ketujuh sebelum Shafiq Shaharuddin menggandakan kedudukan pada minit ke-21.

 

Pasukan Sabah, bagaimanapun bangkit dengan meledak empat gol, masing-masing menerusi Abdoulaye Diagne Faye pada minit ke-35, El Hadji Diouf (ke-80) serta dua jaringan daripada Joel Joseph Chianese pada minit ke-83 dan 90.

 

Pulau Pinang pula kembali meraih kemenangan setelah menundukkan UiTM FC 3-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

 

Tiga gol skuad Harimau Kumbang dijaringkan oleh Lee Gil Hoon menerusi sepakan penalti pada minit ke-39, serta dua gol sumbangan penyerang import dari Brazil, Hilton Mauro Moreira pada minit ke-80 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan.

 

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pasukan Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini, kalah mengejut 0-1 kepada Kuala Lumpur hasil jaringan tunggal Modibo Kunte pada minit ke-57.

 

Dua pasukan kelab iaitu PKNS FC dan SPA Putrajaya FC berkongsi satu mata setelah seri tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya. – Mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *