Malaysia Tidak Terlibat Dengan 34 Negara Perangi Militan IS

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan Malaysia tidak terlibat dalam pembentukan pasukan tentera dari 34 negara Islam bagi memerangi keganasan yang diumumkan kerajaan Arab Saudi hari ini.

 

Menurutnya, pendirian Malaysia bagi memerangi keganasan terutamanya kumpulan militan IS adalah sama dengan Arab Saudi namun ianya dilakukan secara berasingan.

 

“Inisiatif yang dibuat Arab Saudi kali ini tidak ada komitmen ketenteraan tetapi persefahaman bahawa kita bersama memerangi keganasan ini adalah pendirian yang tepat.

 

“Saya menerima panggilan dari Menteri Pertahanan Arab Saudi dua hari lalu dan memaklumkan pendirian kita adalah sama dengan 10 negara Asean yang lain dalam memerangi keganasan,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

 

Pembentukan pasukan tentera yang diketuai Arab Saudi untuk memerangi keganasan dengan pusat operasi bersama berpangkalan di Riyadh bagi menyelaras dan membantu operasi tentera.

 

Hishammuddin turut menyatakan sokongan terhadap cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mewujudkan sebuah mahkamah khas bagi membicarakan kes dan individu yang dikaitkan dengan kumpulan militan atau pengganas.

 

Menurutnya, sebarang perkara yang dapat mempercepatkan proses penghakiman perlu dilakukan supaya individu yang terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

 

“Saya setuju jika diperlukan untuk bicara sebelah malam kerana ancaman pengganas ini adalah benar.

 

“Perkara ini sudah dibincangkan secara prinsip di peringkat Majlis Keselamatan Negara dan untuk tindakan Ketua Hakim Negara,” katanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *