Berita Kakitangan Awam Kontrak Ditamatkan Hujung Tahun Ini, Palsu dan Fitnah – KSN

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan kononnya kakitangan awam yang berstatus kontrak akan ditamatkan perkhidmatannya menjelang hujung tahun ini.

 

“Kerajaan tidak berhasrat menamatkan khidmat kakitangan kontrak pada Disember 2016.

 

“Laporan sebuah portal berita yang mengatakan kakitangan kontrak akan ditamatkan perkhidmatan pada tarikh berkenaan adalah palsu dan fitnah daripada individu-individu yang tidak berautoriti dan tidak bertanggungjawab,” kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa di laman sosial Facebook beliau.

 

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada laporan beberapa buah portal yang memetik sumber sebagai berkata perkhidmatan pekerja kontrak tersebut akan ditamatkan pada Disember depan.

 

Menurut laporan tersebut, sumber yang dikatakan merupakan seorang kakitangan awam di pusat pentadbiran kerajaan mendakwa menerima maklumat tersebut dalam mesyuarat yang dihadirinya baru-baru ini.

 

Laporan tersebut juga mendakwa, keputusan berkenaan dibuat kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk menampung gaji kakitangan kontrak pada tahun ini dan tahun hadapan. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *