Najib Ucap Takziah Kepada Rakyat New Zealand

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak hari ini mengucapkan takziah kepada rakyat New Zealand terutama kepada mangsa gempa bumi kuat yang menggegarkan tengah negara itu pada jam 7.02 malam tadi (waktu Malaysia).

 

Perdana Menteri berkata, berikutan gempa bumi kuat itu, amaran tsunami dikeluarkan, namun sehingga kini tiada sebarang laporan mengenai kemalangan jiwa membabitkan rakyat Malaysia.

 

“Bagaimanapun Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan itu dengan lebih dekat. Semua pihak dinasihatkan berwaspada dan menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington di talian +64-4-3852439 atau +64210440188 jika memerlukan bantuan atau untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya menerusi entri terbaru di Facebook rasminya, hari ini.

 

Gempa bumi kuat 7.8 magnitud menggegarkan tengah New Zealand sejurus selepas tengah malam tadi (waktu tempatan) dan mencetuskan tsunami melanda pesisir pantai timur laut Pulau Selatan.

 

Jabatan Pertahanan Awam New Zealand mengeluarkan amaran kepada penduduk di seluruh kawasan pantai timur dan menggesa mereka mencari tempat lebih tinggi demi keselamatan.

 

Gempa bumi itu berpusat 91 kilometer ke utara-timur laut Christchurch, bandar terbesar di Pulau Selatan, New Zealand.

 

Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud pada Februari 2011 mengorbankan 185 nyawa dan menyebabkan kerosakan besar di bandar itu. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *