Annuar Hadir Di Ibu Pejabat MARA Beri Keterangan Untuk Audit Dalaman

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang digantung tugas sementara, Tan Sri Annuar Musa tiba di Ibu Pejabat MARA pada jam 10.30 pagi tadi bagi memberi keterangan kepada Audit Dalaman MARA.

Beliau dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mengaitkan penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Sejurus tiba, beliau dikawal ketat oleh anggota Polis Bantuan MARA yang mengiringinya sehingga ke lif.

“Anda (media) boleh pergi minum dan makan dahulu. Mungkin lambat lagi. Tunggu selepas ini (beri keterangan),” katanya kepada media sebelum memasuki lif.

Difahamkan, Pemangku Pengerusi MARA, Datuk Dr Yusof Yacob tidak hadir pada sesi pendengaran keterangan Annuar hari ini.

Ini kali pertama Annuar tampil untuk memberi keterangan kepada Audit Dalaman MARA selepas hampir tiga bulan digantung tugas daripada jawatannya sejak 31 Januari lalu.

Beliau digantung tugas serta-merta oleh Ahli Majlis MARA bagi membolehkan Audit Dalaman MARA menyiasat beberapa perkara mengenai agensi itu, termasuk penajaan Pelaburan MARA Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *