Sentuhan Sains Aziz M. Osman

Seorang lelaki bertubuh kecil, berkaca mata dan sentiasa tersenyum, menyambut kehadiran kami di lokasi penggambarannya dengan ramah.

Sekitar lima hari sebelum pertemuan diatur, lelaki itu, sutradara tersohor, Aziz M. Osman bertanya kepada Kosmo!, mahu apa akhbar kami bertemu dan menemu ramah seorang pengarah tua sepertinya.

Aziz barangkali lupa. Melalui sentuhan-sentuhan dan idea beliaulah industri perfileman negara pernah semarak.

Penghasilan naskhah seperti jenama Fenomena, Fantasi, XX Ray, Baginda, Senario The Movie, Puteri Impian dan Leftenan Adnan misalnya adalah bukti bahawa garapan anak kepada pelakon veteran Afida Es itu sentiasa relevan dan diminati seiring usianya meningkat.

Sebahagian daripada karyanya menyuntik elemen sains di dalamnya. Akui Aziz, Sains adalah subjek yang paling dekat dengan jiwanya sejak dari kecil dan beliau pernah bermimpi untuk menjadikan saintis sebagai profesionnya.

“Bagaimanapun, oleh kerana saya tidak menjadi saintis, maka segala keterujaan saya mengenai sains digunakan dalam naskhah-naskhah saya.

“Ia juga bukan soal saya minat sains fiksyen tetapi saya suka sains fakta. Jadi, saya membayangkan segala yang dimasukkan tentang sains dalam naskhah saya akan menjadi fakta kerana saya percaya tiada yang mustahil mengenai sains,” ujarnya membuka bicara.

Pertemuan kami di bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang menjadi lokasi penggambaran pada Isnin lalu, menyaksikan beliau yang ringkas memakai baju adiwira Flash sebenarnya sedang sibuk menyiapkan francais filem paling popularnya, XX Ray.

Ia diberi judul XX Ray 3, yang dihasilkan selepas 22 tahun sekuelnya diterbitkan.

Bukan niat untuk mengenang atau menjual nilai nostalgia lama kerana filem genre sains fiksyen itu begitu dekat dalam hati masyarakat, Aziz, 54, sebaliknya berkata, iltizam mengarahkan filem terbabit dibuat atas desakan penonton.

“Saya tidak memasang niat untuk melihat orang ramai turun ke panggung wayang kerana nilai nostalgia lama filem ini. Saya mengarah filem ini untuk peminat kerana filem ini filem asli kita. Maknanya, ia bukan hasil cedok daripada filem-filem Hollywood.

“Sebagai seorang pengarah, saya akui peminat filem berteraskan sains fiksyen ramai, di Malaysia. Pembikin filem genre tersebut juga ramai, namun yang benar-benar ada ‘jiwa’ tidak ramai,” ujar lelaki kelahiran Hougang, Singapura itu.

Rancak berbicara tentang naik turun dunia perfileman, secara metafora, Aziz menyifatkan industri perfileman seperti deretan kedai makan, siapa yang menjual makanan yang sedap, pasti orang akan beli.

Namun sebagai ‘orang lama’, beliau bagaimanapun yakin industri perfileman tempatan sedang berkembang selari dengan peredaran zaman.

“Bayangkan suatu ketika dahulu, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjaya membikin pelbagai filem yang masih ditonton oleh orang ramai sehingga hari ini. Bagaimana filem beliau sungguh mendepani masa walaupun terbatas dengan kekangan perkakas atau teknologi zaman dulu.

“Bagaimanapun, kini kita lihat filem tempatan masih lembab perkembangannya, namun filem luar negara terus bermaharajalela di padang kita sendiri.

“Pokoknya, kalau sesuatu karya itu pembikinnya tidak pandai bercerita, memang orang tidak akan beli.

“Kalau kedai makan itu menepati selera makanan pelanggan, memang akan laku. Ia dibuktikan dengan filem-filem tempatan seperti J Revolusi dan Abang Long Fadil 2 yang berjaya mengutip kutipan pecah panggung,” luah Aziz.

Terang lelaki berjiwa besar itu lagi, beliau sentiasa berbangga dengan kualiti filem tempatan yang dilahirkan selagi ia dibikin atas dasar cinta terhadap cabang perfileman serta ditiup roh sewajarnya untuk tatapan orang ramai.

“Filem Hollywood pun bukannya bagus sangat. Sebagai contoh, filem Transformers arahan Michael Bay berjaya tetapi akhirnya tiada kesan di dalam jiwa. Kenapa? Tiada roh di situ dan hanya ingin menunjuk kehebatan teknologi sahaja,” getusnya yang mengagumi bakat pengarahan dua beradik, Syamsul dan Syafiq Yusuf.

Tua

Aziz kemudian sengaja ditanya tentang arah tujunya dalam dunia perfileman atau pengarahan khususnya, sementelah usianya semakin dicemburui masa.

Kata suami kepada Puteri Lily Lokman itu, beliau belum bersedia untuk bersara kerana ingin terus menyumbang idea selagi kudrat masih ada.

“Saya tidak kisah jika orang ingin label saya pengarah tua syok sendiri. Telah banyak dikecapi sebagai seorang pengarah dan saya telah berjaya sebagai pencerita. Orang baharu akan sentiasa memerlukan pendapat orang lama untuk berjaya.

“Begitu juga saya sewaktu mula bergelar pengarah. Saya berkolaborasi dengan Allahyarham Zain Mahmood melalui filem Fenomena pada tahun 1990. Beliau merupakan penulis skrip untuk filem tersebut dan saya sebagai pengarah. Hasilnya, ia mendapat sambutan hebat daripada penonton pada zaman itu dengan mengutip lebih RM1.8 juta di panggung.

“Fokus saya sekarang adalah untuk memimpin pengarah-pengarah muda menterjemahkan karya mereka dengan lebih sempurna. Tidak seronok pula kalau orang yang sama menjaringkan gol. Biar orang-orang baharu menonjol baru lebih seronok,” jelasnya penuh maksud tersirat.

Diajak bercerita tentang filem XX Ray 3, Aziz berkata, hampir 40 peratus penggambaran filem tersebut sudah selesai. Diterajui barisan pelakon seperti Izzue Islam, Nonny Nadirah serta pelakon kelahiran Australia, Adam John, beliau mempunyai alasan sendiri mengapa tidak menggunakan khidmat pelakon yang lebih lazim dan mesra dalam kalangan peminat.

“Saya tidak jual bintang (pelakon) tetapi jual cerita atau pakej. Kebanyakan filem terdahulu arahan saya juga menggunakan formula yang sama,” jawabnya ringkas.

Hijrah

Proses kitaran hidup manusia bergulir seperti sebuah roda yang bergerak. Ada ketika, manusia boleh berubah menjadi sebaik-baik manusia meskipun kehidupannya pernah dipenuhi ‘corak hitam’.

Namun, ada ketikanya manusia yang baik juga tidak mustahil untuk berubah perilaku menjadi sejahat-jahat manusia. Segalanya terbentuk oleh kewarasan hati serta akal yang ditunjangi didikan agama dalam jiwa.

Tinggalkan cerita tentang perjalanan seni seorang sutradara yang meminjamkan namanya dalam kanvas hiburan sebagai Aziz M. Osman. Sempena sambutan Maal Hijrah esok, Aziz berkongsi mengenai sikap lahiriah dirinya terutama menyentuh tentang penghijrahan.

Ujar Aziz, penghijrahan bukan sekadar tentang seseorang yang jahat berubah menjadi baik. Hijrah itu luas skopnya termasuk soal hidup, karier, keluarga dan orang di sekeliling.

“Ibu bapa telah memberi didikan sempurna untuk saya menjadi seorang manusia yang baik. Jadi, apabila ditanya tentang penghijrahan, definisi saya adalah transformasi yang dilakukan seseorang daripada baik kepada yang lebih baik,” getusnya saat ditanya tentang definisi hijrah.

Sebagai tukang membikin cerita, Aziz meletakkan sisi kehidupan manusia menjadi inti dalam kebanyakan penceritaannya.

“Dari situ, saya tunjuk apa sahaja bentuk kelemahan dan kesilapan yang sering dilakukan manusia.

“Secara tidak langsung, ia bukan sekadar memberi pengajaran kepada manusia lain yang bertindak selaku penonton, namun ia juga banyak mempengaruhi diri sendiri supaya sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan,” ujarnya.

Kesan

Barangkali tidak ramai yang menyedari bahawa Aziz baru pulang daripada mengerjakan ibadah haji baru-baru ini, sementelah beliau tidak terlalu berkongsi mengenainya dalam laman sosial.

Bersyukur kerana menjadi salah seorang yang terpilih untuk menjejakkan kaki ke sana, Aziz berkongsi pengalaman manis yang berlaku ketika bas yang membawa rombongan dinaikinya tersangkut dalam perjalanan menuju ke Muzdalifah.

“Disebabkan orang terlalu ramai, jadi kami tersangkut di tepi jalan. Kemudian saya lihat di sekitar kawasan dipenuhi dengan ribuan jemaah lain yang tidur di tepi jalan yang berpasir dan berdebu.

“Pada waktu itu juga, terdetik dalam hati kecil saya satu keinginan untuk merasai situasi itu, iaitu mengerjakan ibadah haji sama seperti orang lain yang melakukannya dengan serba kekurangan.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan niat itu serta-merta. Sewaktu jemaah yang lain tidur di dalam bas, saya pula memilih untuk menyertai jemaah-jemaah di tepi jalan,” ujarnya beserta senyuman.

Bukan sekadar pengalaman, namun situasi itu sebenarnya meningggalkan kesan dalam sudut hatinya.

Pengajaran terbesar dipelajari Aziz ketika itu adalah manusia sebenarnya tidak punya apa-apa dan sama sahaja di atas muka bumi ini.

Tidak kira kaya atau miskin, jika kaki masih berpijak di bumi nyata, kita tiada beza di sisi Pencipta.

“Waktu itu saya berasa diri ini sangat kerdil. Ia memberi pengajaran terbesar buat diri saya bahawa sudah tiada apa lagi yang mahu dan perlu saya kejar di dunia ini,” tutupnya penuh bermakna.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *