Laporan: Datuk Seri Pukul RELA Direman 4 Hari

Lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang didakwa memukul tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) 27 Oktober lalu direman empat hari bermula hari ini.

Menurut Berita Harian, permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Mohamad Firdaus Saidina Ali di Mahkamah Ampang pagi tadi.

Menurut laporan itu lagi, lelaki berusia 29 tahun itu tiba di mahkamah pada jam 9.30 pagi dan prosiding reman selesai pada jam 12 tengah hari, menurut laporan itu lagi.

Perintah reman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan bagi tuduhan menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan bagi tuduhan menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Menurut rakaman yang disiarkan laman Pocketimes milik akhbar Sin Chew, lelaki itu yang dihujani soalan wartawan berhubung kejadian itu ketika di mahkamah tadi hanya menjawab, “keadilan akan ditegakkan”.

Dia ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang petang semalam.

 

Kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat lalu, tiga anggota RELA didakwa dipukul lelaki itu ketika bertugas di sebuah tokong di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, selepas memintanya mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire miliknya kerana menghalang lalu lintas.

Tiga anggota itu, Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, cedera di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul lelaki itu.

Kejadian tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan polis dibuat di Balai Polis Ampang.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *