Keluarga Pendorong Utama Aqasha Bersaing

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Aqasha, mendedahkan anak perempuannya, Alaena Ayesha, memainkan peranan sebagai pengkritik utama beliau sepanjang bertanding dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Bukan sekadar menegur dan memberikan semangat, malah puteri yang juga cahaya mata keduanya itu juga menjadi teman ketika beliau berlatih menari bagi persembahannya.

“Sememangnya bukan mudah untuk saya menyanyikan lagu yang bukan daripada genre saya. Bagaimanapun, saya tetap berusaha memberikan yang terbaik setiap kali berada di pentas.

“Keluarga pula tidak syak menjadi kekuatan untuk saya dan pendorong utama dalam memberikan persembahan terbaik saban minggu di GV4.

“Anak perempuan saya adalah orang yang paling teruja melihat bapanya beraksi di televisyen. Bahkan, dia turut sama menari bersama-sama saya ketika perlu berlatih lagu dangdut tempoh hari,” kata Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, 35.

Selain itu, kata bintang utama Misi Laksa dan Laksam ini, isterinya, Noor Baizura Mohd Sabri, tidak lupa untuk memberikan kata-kata semangat, terutama apabila beliau kurang berkeyakinan untuk berentap dengan penyanyi yang dirasakan jauh lebih mantap dari segi vokal.

Pada minggu lalu, penyanyi yang pernah memiliki tiga album ini menyampaikan lagu berjudul Cinta Tak Keruan, dendangan asal Amigos.

Ahad ini, dalam konsert minggu keempat pertandingan terbabit, Aqasha akan berduet dengan Tomok untuk mempersembahkan lagu nyanyian asal D’Masiv, Cinta Ini Membunuhku.

Beliau yang aktif di arena seni sejak 2000 mendirikan rumah tangga dengan Noor Baizura Mohd Sabri pada 10 Oktober 2010. Hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata, Alehandra Ahmad, 6, dan Alaena Ayesha, 5 tahun.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *