PPBM Perlukan Masa Untuk Adakan Mesyuarat Agung, Kata Muhyiddin

PAGOH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memerlukan masa untuk mengadakan mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang pertama, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil merujuk kepada Umno Baru, Muhyiddin berkata parti itu sebelum ini mengambil masa dua tahun untuk berbuat demikian.

Justeru, beliau menyifatkan bahawa tidak munasabah apabila PPBM diminta mengadakan AGM dalam masa setahun selepas didaftar secara rasmi.

Katanya, PPBM hanya mempunyai beberapa bahagian yang telah ditubuh secara rasmi dan diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Katanya lagi, AGM perlu dibuat di peringkat cawangan dan bahagian terlebih dulu, sebelum peringkat pusat.

“(Sama) macam Umno, ia perlu bermula dari cawangan, bahagian, sehinggalah ke perhimpunan agung.

“Kita akan minta panduan RoS mengenai perkara ini (dan) bagaimana kita dapat laksanakannya,” katanya pada sidang media di Pagoh, malam tadi.

Beliau memaklumkan setakat ini hanya lapan bahagian parti itu yang diluluskan oleh RoS dan tiada bahagian yang berusia lebih setahun bagi memerlukan AGM dibuat.

“Misalnya (PPBM) bahagian Pagoh diluluskan pada 24 Julai, baru empat bulan. Ia belum lengkap setahun untuk mengadakan mesyuarat agung,” katanya.

Muhyiddin yang menjadi menteri besar Johor ketika pendaftaran Umno dibatalkan pada 1988 berkata yang beliau terlibat dalam penubuhan Umno Baru dan tahu prosedur yang sepatutnya.

‘Kami akan patuhi ROS’

“Ini bukan nostalgian kepada Umno…Masa yang lama diperlukan untuk memilih jawatankuasa bahagian…Kita (PPBM) baru bermula.

“Kami akan patuh kepada arahan (RoS), tapi kita minta pencerahan (tentang prosedur) dan masa yang sesuai (untuk mengadakan pertemuan dengan RoS).

Terdahulu, Ketua Pengarah RoS Surayati Ibrahim berkata PPBM telah memohon untuk menangguhkan AGM mereka tetapi penangguhan itu tidak diperuntukkan dalam perlembagaan parti.

Justeru, katanya, tindakan itu melanggar perlembagaan parti dan ia adalah kesalahan serius yang boleh menyebabkan pendaftarannya terbatal.

Jika PPBM dibatalkan, parti itu tidak akan dapat menggunakan logonya pada pilihan raya umum akan datang.

Suriyati juga berkata ROS tidak mengiktiraf mesyuarat agung khas (EGM) parti itu yang dikatakan dibuat pada 2 November 2016 kerana minit mesyuarat menunjukkan hanya 12 pemimpin majlis pimpinan tertinggi yang hadir. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *